Monday 1 October 2012

thank you, syukran


Diriwayatkan daripada Abu Sai’d beliau berkata :

“ Sesiapa yang tidak berterima kasih kepada manusia, maka dia tidak bersyukur kepada Allah s.w.t”
( Riwayat al-tarmizi )

Alhamdulillah, hari ini kita masih dikurniakan nikmat hidup oleh Allah s.w.t untuk terus bertaqwa dan beribadah kepadanya. Fitrah manusia memang suka dengan nikmat yang diberi. Kejayaan adalah nikmat bagi orang yang berusaha dan bersusah payah. Makanan adalah nikmat bagi orang yang lapar dan minuman adalah nikmat bagi orang yang dahaga. Sihat itu nikmat bagi orang yang sakit. Senarai nikmat ini berterusan bak tiada penghujungnya.

Firman Allah,
“ Jika kamu menghitung nikmat Allah yang dilimpahkanNya kepada kamu, tiadalah kamu dapat menghitungnya satu persatu, Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”
( surah an-Nahl : 18)

Thank you, Terima Kasih, Syukran, Jazakallah ..

Konsep berterima kasih kepada manusia amat berkait rapat dengan sikap bersyukur atas nikmat Allah s.w.t. Persoalannya ,Mengapa?
Sedarkah kita bahawa sesuatu yang kita peroleh daripada orang lain sebenarnya datang daripada Allah s.w.t? Mereka itu telah dipilih oleh Allah s.w.t sebagai perantara. Justeru, dengan mengucapkan terima kasih,penerima tersebut dikira mensyukuri nikmat Allah s.w.t yang diperolehnya melaui perantaraan si pemberi. 
Hal ini berdasarkan pencerahan hadis di atas oleh Imam al-Khatabbi yang menyebutkan bahawa :

1  1)   Allah s.w.t. tidak menerima sikap syukur seseorang hamba atas nikmat kurniaannya  jika dia tidak  berterima kasih atas kebaikan yang dilakukan oleh orang lain terhadap dirinya.

2  2)  Seseorang yang kebiasaannya tidak berterima kasih kepada manusia atas sesuatu yang diberikan kepadanya, kebiasaannya dia tidak bersyukur atas nikmat Allah s.w.t


Sifat si penerima, zahirkanlah kesyukuran

“Sangat sedikit hambaKu yang bersyukur “
( surah Saba’ : 13 )

Mengapa ini berlaku ?
Realiti disebalik kejayaan yang gemilang dalam hidup ini ialah usaha gigih dan bantuan manusia juga dengan kesihatan dan nyawa yang dipinjamkan oleh Allah s.w.t. Buka lah mata dan sedarilah bahawa tiada kejayaan tanpa kesihatan yang baik dan nyawa yang dianugerahkan oleh Allah. Justeru, mengapa perlu bersikap sombong dan ego untuk mengucapkan terima kasih kepada manusia dan bertahmid kepada Allah?
Seharusnya, sifat tawadduk dan rendah diri harus dipupuk dalan diri kita sebagai penerima nikmat yang tidak mampu dikira dengan jari jemari mahupun kalkulator saintifik tercanggih di dunia. Sudahkan kita bersifat mengharap , takut, dan mencintai yang Memberi ?

Ucapkanlah "alhamdulillah, wasykur lillah" 
( segala puji bagi Allah dan segala kesyukuran juga untuk Allah).

Ucapan terima kasih kepada perantara yang dipilih oleh Allah untuk menyampaikan nikmat itu juga perlu mekar bibir kita. Adakah sukar untuk mengucapkan 
“ Syukran wa Jazakillah “  kepada mereka ?
(terima kasih, dan semoga Allah membalasnya).

“Ingatlah ketika Tuhan kamu memberitahu 
“Demi sesungguhnya jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambah nikmat-Ku kepada kamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur ingkar, 
sesungguhnya azabKu amatlah keras “
( surah Ibrahim : 7)

“ Sesungguhnya Kami telah memberi kepada Luqman,
hikmat kebijaksanaan (serta kami perintahkan kepadanya ) Bersyukurlah kepada Allah ( akan segala nikmat-Nya kepadamu dan sesiapa yang bersyukur maka faedahnya itu terpulang kepada dirinya sendiri,dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Alllah Maha Kaya,lagi Maha Terpuji”
( surah Luqman : 12)

Namun, dalam era ini.. pujian dan penghargaan hanya diberikan kepada manusia sahaja dengan melupakan Pemberi anugerah yang hakiki iatitu Allah.
Misalnya, kita seringkali kagum dan memuji kemurahan hati manusia tetapi lupa memuji Pemberi sifat pemurah yang wujud dalam diri manusia. Nauzubillahi min zalik

Membalas kebaikan orang lain

Galakan ini telah disebutkan oleh Nabi s.a.w. dalam sebuah hadisnya.
Riwayat Imam Abu Daud yang bermaksud :
“ Sesiapa yang diberikan satu pemberian lalu dia mendapati sesuatu ( berbentuk harta dan keupayaan pada dirinya,), maka balaslah pemberian atau pujian itu (serta mendoakan kebaikan pemberi).”

Seorang muslim yang sempurna imannya akan mengasihi saudaranya sebagaimana dia  mengasihi dirinya sendiri. Perkara yang disukainya akan dilakukan pula kepada saudaranya dan sebaliknya. “what goes around, comes around”..

Jika kita suka menerima sesuatu pemberian, maka mulakanlah dengan sikap memberi kepada orang lain terlebih dahulu. Moga-moga dengan rasa ikhlas dan mengharapkan redha Allah s.w.t., amalan ini akan dikira sebagai ibadah InsyaAllah.
Namun, jika kita tidak mampu membalas kebaikan itu, cukuplah sekadar kita berterima kasih kepada si pemberi dan Allah s.w.t. Doakan kebaikan untuk mereka. Itu sudah memadai. Jangan kita pulangkan semula pemberian itu.

Didik diri untuk menjadi seorang yang ikhlas menerima pemberian kerana nikmat itu sebenarnya datang dari Allah. Tergamakkah kita menolak anugerah Allah ? Siapakah kita  wahai manusia sombong. Allahuakahbar.

Didik diri dengan Doa yang diekstrak daripada Al-Quran



“Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmat-Mu yang Engkau kurniakan kepadaku dan ibu bapaku,dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redhai,dan masukkanlah daku dengan limpah rahmatMu dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh”
( surah al-Naml : 19)

Kesudahan dan penghabisan kepada sekalian nikmat berdasarkan sabda Nabi s.a.w yang bermaksud “ Sesungguhnya masuk ke dalam syurga dan bebas daripada api neraka antara kesempurnaan nikmat”..

Marilah kita beramal dan berdisiplin dalam mematuhi syariah yang disediakan oleh Allah untuk hambanya sebagai tanda syukur yang sebenar seorang hamba terhadap penciptanya. Islam ini bukan retorik tetapi pembuktian. Islam agama kerja dan amal. Ayuh pemuda pemudi agama, kita buktikan !

"Beramallah kamu,maka Allah dan RasulNya serta orang yang beriman 
akan melihat apa yang kamu kerjakan,
dan kamu akan dikembalikan kepada Allah yang mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata,kemudian ia menerangkan 
kepada kamu apa yang kamu kerjakan”
( surah al-taubah : 105 )

mood : cuti first sem..nak pergi australia n breath in the smell of those fresh roses..its spring >.<

No comments:

Post a Comment